Tuesday 16 July 2013

Perkembangan Unit Amanah Di Malaysia.


Industri unit amanah sebenarnya telah lama  bertapak di Malaysia, Cuma ia tidak begitu popular sehinggalah mula mendapat perhatian pada tahun 1990-an. Unit amanah pertama ditawarkan oleh sebuah  syarikat bernama Malayan Unit Trust pada tahun 1959. Malaysia merupakan antara Negara terawal di Asia yang menawarkan unit amanah. Sehingga tahun 1980, hanya lima syarikat unit amanah yang wujud, dengan penawaran 18 dana. Mulai 1980-an, pihak kerajaan telah mula melibatkan diri dalam unit amanah menerusi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) PADA 1981. Orang ramai mula terdedah kepada industri ini menerusi ASN, yang mendapat sambutan luar biasa, kerana pada waktu itu ia menjamin pulangan 10 peratus.


Tahun 1990-an menyaksikan pertumbuhan pesat unit amanah, apabila semakin banyak syarikat ditubuhkan dan lebih banyak dana yang ditawarkan kepada orang ramai. Pertumbuhan pesat dicapai sehingga tahun 1996, tetapi dikekang oleh krisis kewangan pada tahun 1997 dan 1998. Namun begitu, industri ini kembali berkembang dengan pesat pada awal alaf baru. Malah NAB  semua dana telah meningkat sehingga hampir RM170 bilion sebelum sebelum kegawatan ekonomi global berlaku pada 2008, yang menyebabkan jumlah NAB jatuh ke tahap RM134 bilion. Nilai yang dilaburkan dalam unit amanah bergabung kepada keadaan ekonomi dan juga sentimen pasaran. Namun begitu, walaupun kejatuhan yang ketara berlaku, peratusan NAB berbanding Modal Pasaran Bursa Malaysia telah meningkat daripada 15 peratus kepada 20 peratus. Ini tidak menghairankan kerana unit amanah bukan sahaja melabur dala ekuiti, tetapi instrumen lain seperti bon  dan instrument pasaran wang.

Ternyata unit amanah sekarang ialah satu instrumen pelaburan yang popular. Daya tahan dan perkembangannya setelah sekian lama bertapak di Malaysia menunjukkan bahawa ia memberikan nilai tambah kepada pelabur. Sehingga akhir tahun 2009, terdapat 39 buah syarikat pengurusan unit amanah di Malaysia dengan sejumlah 541 dana yang ada dalam edaran, merangkumi 397 dan konvesional dan 144 dan Islam. NAB  dana  yang berjumlah lebih RM190 bilion pada akhir 2009 menunjukkan bahawa pelabur telah kembali semula kepada unit amanah sejak kegawatan pada 2008. Daripada angka tersebut, RM 169 bilion dilaburkan dalam dana konvesional dan 22 bilion dalam dana patuh syariah. Nisbah NAB berbanding Modal Pasaran Bursa Malaysia ialah pada tahap 19.18 peratus. Industri ini yang dikawal selia oleh persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), ternyata sedang berkembang pesat dan diyakini oleh pelabur untuk melindungi dan menambah nilai pelaburan mereka.

Sumber di petik dari buku Panduan Pelaburan Unit Amanah

No comments:

Post a Comment