Monday 15 July 2013

Kenaikan Harga Ayam 2013


Assalammualaikum.

Sejak dua, tiga hari ini antara isu yang banyak diperkatakan dalam media sosial mahupun media arus perdana ialah berkenaan kenaikan harga ayam. Sejak awal Ramadhan yang lalu terdengar banyak  rungutan dan kebimbangan orang ramai  tentang kenaikan harga ayam ini.  Mana tidaknya jika harga  ayam yang sebelum ini pada kadar RM6.50 sehingga RM7.50  sekilogram, tiba-tiba harganya naik mendadak sekitar  RM8.50 sehingga RM9.00. Kesan kenaikan harga ayam ini sudah pasti  telah membebankan rakyat  terutamanya bagi mereka yang berpendatan rendah dan di tambah pula ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa dan bakal menyambut ketibaan  Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin dalam petikan laporan sebuah akhbar mengulas bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah pasti akan menangani sebaik mungkin isu tersebut dengan pelbagai mekanisme termasuk pada peringkat logistik. Menurutnya, jika masalah di peringkat logistik dapat diatasi maka ianya mampu mengurangkan isu ayam tidak mencukupi. Beliau juga berpendapat, kenaikan harga ayam ini juga dipercayai berlaku akibat pertukaran menteri baru-baru ini dan yakin isu ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa  antara faktor lain yang menyebabkan kenaikan harga ayam  adalah berpunca daripada masalah bekalan harga makanan dan anak ayam yang berkurangan di pasaran akibat permintaan yang tinggi.

Bagi Dr Amir Husin pula dalam petikan laporan sebuah akhbar berpendapat bahawa kerajaan perlu ada mekanisme tertentu supaya kenaikan harga ayam ini tidak berulang pada masa akan datang, dimana beliau mencadangkan penternakan ayam kampung perlu diperluaskan sebagai alternatif pada masa akan datang. Tambahannya lagi, idea ini boleh menjana pendapatan walaupun kelihatan remeh namun beliau yakin apabila dilaksanakan nanti mampu mengatasi isu kekurangan ayam selain dapat mengawal  harga pasaran ayam.

Dalam akhbar hari ini pula melaporkan bahawa peniaga dan pengguna tidak perlu risau berhadapan dengan masalah harga ayam naik mendadak kerana Kementerian Pertanian dan Indusri Asas Tani telah membenarkan semula pengimportan ayam dari negara China. Menurut sumber berkenaan pengimportan ayam tanpa tulang dari China itu berupaya mengurangkan persaingan antara orang ramai dengan pusat pemprosesan ayam dan pengimportan masuk daging ayam yang siap diproses dalam bentuk ketul membolehkan industri pemprosesan mendapat bekalan ayam pada harga murah bagi mengeluarkan produk makanan segera seperti bebola ayam dan daging burger. Sehubungan itu, apabila pihak pemprosesan boleh menggunakan ayam import sebagai alternatif, pengguna tidak mempunyai masalah mendapatkan ayam bulat dengan harga berpatutan di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Industrti Asas Tani juga tidak menolak  kemungkinan kenaikan harga makanan ayam  menjadi punca harga ayam naik mendadak sehingga RM9  sekilogram sekarang.  Dalam laporan media  hari ini,  Datuk Seri Ismail Sabri  mengulas bahawa kenaikan harga ayam ini berpunca daripada kenaikan harga makanan ayam yang dibawa masuk dari Australia dan Thailand. Tambahan  beliau lagi, sektor ternakan ayam  Negara di bawah seliaan kementeriannya tidak mengalami sebarang masalah malah Negara juga mampu mengeksport ayam ke Singapura. Bagi mengatasi masalah ini, beliau juga berpendapat sudah  tiba masanya Negara menghasilkan bekalan makanan ternakan sendiri bagi membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam pada masa akan datang.
Secara konklusinya bagi pendapat saya, masalah ini tidak sepatutnya berulang saban tahun, kerana kenaikan harga ayam sering berlaku menjelang musim perayaan. Pihak yang berkenaan perlulah memainkan peranan mereka dalam mengawal harga ayam dalam pasaran terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Hal ini  kerana setiap alasan atau jawapan yang diberi hari ini adalah jawapan yang sama setiap kali berlakunya kenaikan harga ayam. Kita tidak mahu rakyat dibebankan ketika bergembira menyambut hari raya selain  tertekan  dengan peningkatkan kos perbelanjaan raya mereka. Segala idea yang telah dinyatakan untuk mengatasi masalah ini perlu dilaksanakan dengan segera agar masalah yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

Oleh Suara Malaya.


No comments:

Post a Comment