Wednesday 24 July 2013

Pengurusan Tingkatan 6 Di Takuk Lama.

Isu pengurusan Tingkatan Enam yang banyak dipertikaikan pakar pendidikan termasuk guru masih tiada jawapan konkrit daripada Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri  atau Kementerian Pendidikan. 

Hingga kini Tingkatan Enam yang sepatutnya setaraf matrikulasi dan kolej berdasarkan kurikulumnya masih ditadbir secara arus perdana. Pelajar dikehendaki menduduki peperiksaan mengikut penggal yang diadakan di sekolah biasa, selain kemudahan persekolahan masih pada tahap sama.

Banyak kes pelajar terpaksa berkongsi menggunakan peralatan termasuk makmal dengan arus perdana. Pelajar Tingkatan Enam di Parit Buntar, Kerian, Tanjung Piandang dan Bagan Serai menghadapi situasi sama. Pengurusan masih bergantung kepada ihsan arus perdana.

Kelas setaraf prasekolah

Kelas untuk pengajaran Tingkatan Enam ditempatkan di bangunan yang setaraf prasekolah . Sekiranya banjir , blok bangunan tersebut akan tenggelam. Inilah realiti pengurusan Tingkatan Enam yang terpaksa mengalah kerana masih ditempatkan di sekolah biasa. 

Melalui sistem STPM baharu, pelajar boleh memperbaiki keputusan penggal yang kurang baik pada penggal berikutnya dengan bimbingan daripada guru. Malangnya, jika guru dibebankan dengan tugas lain, pelajar akan menghadapi masalah untuk memberi fokus kepada subjek mereka.

Penolong Kanan Tingkatan Enam yang dilantik untuk pengurusan Tingkatan Enam dilayan setaraf guru kanan pelajaran. Pekeliling berkaitan pengurusan  Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan di tolak oleh pihak pengurusan sekolah demi kepentingan arus perdana.

Ini membebankan kerana kurikulum yang berbeza di antara arus perdana dan Tingkatan Enam menyebabkan guru sukar menumpukan perhatian kepada pengajaran dan bimbingan kerja kursus yang diwajibkan kepada pelajar.

Saya sebagai guru Tingkatan Enam mengharapkan ada pembaharuan dalam pengurusan. Seharusnya Tingkatan Enam diberi nafas baru dengan diadakan pemusatan di sesuatu daerah (Pusat Khas Tingkatan 6).

Keprihatinan Kementerian Pendidikan  amat diharapkan supaya kualiti pendidikan  setaraf negara maju.

Guru Terbeban 
Parit Buntar

(Sumber daripada artikel ruangan Forum Berita Harian. 23 Julai 2013)







No comments:

Post a Comment